SEREMBAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan akan melaksanakan projek rintis penggunaan garisan jalan bercahaya dalam gelap atau glow in the dark di jalan lama Bukit Putus, Kuala Pilah dan jalan Bukit Miku, Rembau pada Jun ini.

Pengarah JKR negeri, Ir Wan Hasnan Wan Musa berkata, sejumlah RM500,000 disediakan bagi projek di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) itu yang disalurkan oleh kerajaan negeri.

"Panjang jalan adalah lebih kurang 2 kilometer (km) di jalan Bukit Putus dan 2 km di Jalan Bukit Miku. Saya berpendapat dua jalan berkenaan memberikan nilai tambah kepada pengguna jalan raya kerana keadaan jalan di situ gelap," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Wan Hasnan berkata, di peringkat Kementerian Kerja Raya, penggunaan garisan itu masih dalam kajian dan pihak JKR negeri mengambil inisiatif untuk melakukan projek rintis bagi melihat impak dan kesesuaian untuk pengguna jalan raya.

Menurutnya, perbelanjaan penggunaan garisan glow in the dark agak tinggi dan setelah projek berkenaan siap dilakukan, pihaknya akan melihat dari segi kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung. - BERNAMA